Langkau ke kandungan utama

sumpahan


Suatu hari minggu, ketika matahari Januari sedang memancarkan cahaya panasnya, isteriku Im mengeluarkan satu idea bernas.

 "Abang... Tahun Baru Cina bulan depan kita balik kampung?"

Satu idea yang baik fikirku. Maklumlah sudah beberapa bulan kami tidak balik ke rumah orang tuaku di Pulau Pinang dan rumah orang tua Im di Kedah.

Maka pada suatu pagi dingin, aku, Im dan anak-anak bertolak dari Ampang menuju ke Utara Semenanjung. Ketika itu keluarga aku semakin berkembang. Dari tiga orang anak, dalam tempoh dua tahun sudah jadi lima orang anak. Semuanya lelaki. Anak nombor tiga, empat dan lima lahir setiap tahun. Jenis suburlah katakan, pantang bersentuh akan adalah hasilnya..
Akhirnya selepas kira-kira enam jam menaiki kereta, sampailah kami di rumah mentua di Alor Setar. Bukan main seronok lima orang anak lelaki aku apabila menjejakkan kaki di halaman rumah kampung yang begitu luas itu. Sebuah rumah kayu dua tingkat yang dihuni mentua begitu selesa untuk mereka melompat dari satu sudut ke sudut lain. Berbeza dengan rumah teresku di Ampang yang ruangnya terhad, kiri dan kanan ada jiran yang kadang-kadang membeliakkan mata bila anak-anak membuat bising. 

Rancangan kami, hari pertama dan kedua cuti cuma nak habiskan masa di rumah mentua dan melawat sanak-saudara sekitar Alor Setar. Hari ketiga pula kami cadang nak ke Langkawi, tidur dua tiga malam di sana. Minggu berikutnya hendak ke Pulau Pinang, melawat beberapa tempat menarik seperti Batu Feringgi, Padang Kota dan Bukit Bendera.

Tetapi manusia cuma merancang. Allah jua Yang Maha Perancang...

"Abang," pinta Im pada hari pertama kami bercuti. "Jom kita pi tengok dusun kita di Sintok sat. Lama dah tak tengok dusun. Entah-entah dah semak-samun dusun kita."
Kami sebenarnya ada membeli sebidang tanah dusun di Sintok, tidak jauh dari Universiti Utara Malaysia. Rancangan kami, tanah seluas lebih kurang seekar itu hendak ditanam durian, mempelam, manggis dan rambutan. Bila sudah hampir hendak pencen nanti, kami akan dirikan sebuah rumah di situ untuk tempat tinggal di hari tua. Itulah perancangan kami.

Petang itu lepas solat asar, aku dan Im bersiap-siap meninggalkan rumah mentua di Alor Setar untuk ke dusun kami di Sintok. Lima orang anak kami ikut sama.

 "Fitt, Famie, Fann tak payah ikut ke Sintok lah," tiba-tiba terdengar suara bapa mentua memberi cadangan. "Tak baik budak-budak kecik masuk belukar. Biar Fath dan Faees yang dah besar tu saja ikut. Fitt, Famie dan Fann tak payah ikutlah. Dok di sini jer laa."

Ketika itu Fitt berumur tiga tahun lebih, Famie dua tahun lebih dan Fann setahun lebih. Kerana fizikal mereka hampir sama besar, ramai yang ingat ketiga-ketiga mereka anak kembar. Apabila ada yang tanya, “Anak kembar ke ni?” biasanya aku akan menjawab, “Ya, anak kembar... anak kembar berlainan tahun.” 

Tetapi ketiga-tiga anak lelaki kami yang paling kecil itu menangis dan ada yang  berguling-guling atas lantai apabila dihalang daripada ikut kami. Lalu akhirnya semua lima anak aku mengekori kami ke dusun di Sintok.

Bila sampai di dusun... ya Allah dusun sudah semak-samun dipenuhi belukar. Maklumlah sudah lama tidak balik tengok dusun.

Aku buka pintu kereta MPV, ambil peralatan pembersihan dusun yang berada dalam bonet dan terus masuk ke dusun diikuti isteri dan anak-anak.

Lama juga aku, isteri dan anak-anak di dalam dusun. Tebas serta tebang pokok dan ranting yang merimbun dan menyangkul mana yang patut. Anak-anak bukan main seronok ketika berada di dusun, berlarian ke sana ke mari. Nampak belukar terus masuk bermain sorok-sorok dalam belukar pula.

Bila azan maghrib terdengar berkumandang dari masjid terdekat, barulah aku dan isteri berhenti buat kerja pembersihan dusun. Aku ajak Im dan anak-anak balik segera ke rumah mentua di Alor Setar. Nanti terlepas solat maghrib pula.

 "Eh, mana Fann?" kataku bila tidak nampak wajah anak bongsu lelaki kami yang baru berusia setahun lebih itu.

 "Tuuu..." tunjuk Fitt ke arah Fann yang sedang menyorok di dalam belukar kecil di belakang kami. Aduh... dah senja macam ni pun budak kecik tu masih sempat nak main sorok-sorok, bisik hatiku.

Sesampai kami di rumah mentua, semua anak berlumba-lumba turun dari kereta. Hanya Fann masih di dalam kereta.

Aku mengangkat Fann dari kereta, meletakkannya ke lantai porch kereta. Biasanya letak saja ke lantai, budak itu akan terpa masuk ke dalam rumah. Tetapi petang itu Fann enggan berjalan seperti biasa. Dia cuma terduduk di atas lantai porch dengan wajah tidak ceria.

Bila aku mengangkat dia untuk berdiri, aku lihat dia terjatuh duduk ke lantai porch balik. Eh, kenapa pula dengan budak ni, tidak mahu berjalan pula?

Aku dukung Fann masuk ke dalam rumah mentua dan letakkan dia ke atas lantai rumah. Aku perhatikan Fann cuba berdiri. Tetapi setiap kali berdiri dia akan terjatuh semula ke lantai. Berkali-kali begitu.

 "Immm," aku memanggil isteri yang sudah masuk dalam bilik untuk menyalin pakaian. "Mai tengok Fann sat. Apa jadi entah... dia tak boleh jalan pula!"

Isteri bergerak laju ke arah Fann. Tangannya cuba mengangkat Fann tetapi setiap kali cuba mengangkatnya untuk berdiri dia akan terjelepuk jatuh ke lantai balik. Seperti orang lumpuh!

Apa sudah jadi dengan Fann? Elok-elok jer sebelum ni, balik dusun dah macam lumpuh pula?

 "Kaki dia kebas kot," teka bapa mentua. Bapa mentua memberi minyak angin kepadaku untuk disapu ke kaki Fann.

Selepas menyapu minyak angin, keadaan Fann masih sama - masih tidak boleh bangun. Aku sudah sedikit panik. Pelbagai andaian buruk berlegar di kepala.

Namun masuk sahaja waktu isyak, Fann dapat bangun dan bergerak semula. Alhamdulillah!

Esok pagi hingga ke petang semua berjalan seperti biasa. Fann seperti anak-anak seusia dengannya begitu lasak, berlari ke setiap penjuru rumah mentua. Lepas makan tengah hari kami pergi ke supermarket untuk beli beberapa barang keperluan asas. Penat juga mengepung tiga “anak kembar berlainan tahun” kami yang berlari ke sana sini dalam supermarket. Lincah dan lasak!

Walaupun ketika di supermarket Fann sangat lincah, tetapi beberapa minit selepas masuk waktu maghrib, sekali lagi kaki Fann menjadi seperti lumpuh. Seperti semalam, kakinya tidak boleh digerakkan langsung. Seperti semalam, tangan dan anggota tubuh lain normal, kecuali kaki tidak boleh digerakkan.

Disebabkan kakinya tidak dapat digerakkan, kalau Fann hendak ke bilik air atau hendak ke dapur, terpaksalah digendong sebab kakinya tidak dapat digerakkan sama sekali.

Namun seperti semalam, ia cuma kelumpuhan sementara. Bila sahaja masuk waktu isyak, kaki Fann pulih seperti sediakala.

Pelik! Penyakit apakah itu? Misteri apakah yang sedang melanda? Mengapa setiap kali antara waktu maghrib dan isyak kaki Fann lumpuh?

Esoknya aku berbincang dengan Im tentang penyakit Fann. Akhirnya aku dan isteri mengambil keputusan untuk membawa Fann ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan. Sudah dua hari begitu, takut pula hari ini berulang kembali kelumpuhan kakinya. Sebelum tiba ke peringkat kronik, biarlah dirawat awal. Mungkin doktor ada jawapan dan ubatnya.

Percutian kami ke Langkawi yang sepatutnya bermula hari ini terpaksa dibatalkan. Tidak apalah rugi duit tempahan hotel yang telah dibayar. Keselamatan dan kesihatan keluarga lebih penting.

Pukul 8.00 pagi, aku, Im dan Fann ke klinik pesakit luar, Hospital Alor Setar.

 "Sakit apa?" tanya doktor bila aku, Im dan Fann berada di dalam biliknya. Mungkin dalam hati doktor itu hairan siapa yang sakit? Tidak nampak pun Fann yang lincah itu macam sakit. Letak sahaja dia atas lantai terus berlari keliling meja doktor. Tidak mungkin Fann yang sakit!

 "Ni, anak saya ni, dia yang sakit," kata aku.

Aku ceritakan apa yang terjadi kepada Fann. Ceritakan tentang kelumpuhan selama kira-kira 70 minit kepada Fann selama dua hari berturut-turut yang berlaku antara waktu maghrib dan isyak.

Doktor itu memeriksa kaki Fann. Dia membengkokkan dan meluruskan kaki Fann serta melakukan beberapa ujian fizikal lain terhadap bahagian kaki Fann.

 "Tak nampak ada masalah pun. Semuanya normal." Suara dan bahasa mata doktor itu macam dia tidak percaya dengan cerita kami.
 
"Itu yang susahnya, doktor. Kalau check kaki dia waktu siang semua okay, lasak bukan main dia waktu siang. Tapi tengoklah bila masuk waktu maghrib nanti, masa tu baru penyakit dia mai," celah Im.

Nasib baik isteri aku ada mengambil video Fann ketika kelumpuhan sementara yang berlaku kepadanya semalam. Im tunjukkan video itu kepada doktor. Video Fann yang sedaya upaya cuba bangun tetapi terjatuh balik lepas waktu maghrib. Im juga menunjukkan video Fann yang kembali aktif selepas masuk waktu isyak untuk perbandingan.

Dahi doktor kelihatan berkerut mendengar cerita kami dan menatap video itu. Mungkin dia sedang mengingati balik penyakit-penyakit yang dipelajarinya semasa belajar dulu, bisik hatiku. Tapi ada ke 'maghrib sickness' dalam kamus perubatan. Kelumpuhan yang cuma terjadi ketika waktu maghrib?

Akhirnya selepas doktor tersebut berbincang dengan seorang doktor lain yang kelihatan lebih senior, dia merujuk kes Fann ke klinik pediatrik. Maka terpaksalah Fann ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut.

Aku pulang ke rumah bersendirian hari itu. Im terpaksa tidur di wad pediatrik hospital bagi menemani Fann.

       ___________________

Hari kedua Fann di wad, aku ke hospital untuk melawatnya. Fann yang sedang berada di atas katil cuba turun katil apabila melihat aku. Lasaknya tidak mengira tempat.

 "Kaki Fann dah okay ka? Waktu maghrib semalam macam mana keadaan dia? Kaki dia dah boleh gerak ka time maghrib?" aku bertanya Im.

 "Macam dua hari lepas jugalah. Bila mai maghrib, kaki dia kembali tak boleh gerak. Masuk isyak, kaki dia okay balik," jawab Im.

 "Doktor kata apa?"

 "Depa ada buat x-ray, scan dan ambik darah. Nanti bila keputusan keluar, doktor akan bagitau apa sakit Fann."

Hari ketiga, seperti biasa aku ke hospital sekali lagi melawat Fann. Dan seperti semalam, Fann tidak menunjukkan tanda-tanda dia sakit pada waktu siang. Lincah dan lasak!

 "Petang semalam Fann macam mana? Waktu maghrib kaki dia dah boleh gerak ka?" aku bertanya. Soalan sama yang aku tanya kepada Im seperti soalan semalam juga.

 "Macam sebelum ni jugalah. Masuk waktu maghrib, kaki Fann tak boleh gerak. Masuk waktu isyak kaki boleh gerak balik. La doktor sedang pantau dia, ambik rekod setiap jam untuk tengok perkembangan dia. Harap-harap ada ubatnya nanti," beritahu Im.

Sepanjang Fann menerima rawatan di hospital aku tidak berhenti berdoa. Aku yakin dengan janji Allah: setiap penyakit, kecuali maut, pasti ada ubatnya.

Mungkin dalam dua tiga hari ini Allah belum mengizinkan Fann sembuh. Mungkin doktor belum menemui punca penyakitnya. Yang penting, terus berdoa dan berusaha, jangan sesekali putus harapan!

         _________________

Lima hari juga Fann menerima rawatan di hospital. Selama lima hari Fann di sana, sekumpulan doktor terdiri daripada pakar saraf, fisioterapi, ortopedik dan entah apa lagi pakar yang cuba mencari punca penyakitnya. Pelbagai ujian dilakukan terhadap Fann, banyak sampel darah diambil untuk diagnosis.

Lima hari berlalu namun keadaan Fann masih tidak banyak berubah. Apabila masuk waktu maghrib, kakinya lumpuh tiba-tiba selama kira-kira 70 minit dan selepas itu pulih seperti sediakala. Kata Im yang menjaga Fann, ada seorang doktor perempuan Cina yang menggelengkan kepala melihat apa yang berlaku terhadap Fan. Agaknya 'maghrib sickness' belum ada dalam jurnal perubatan kot?

Akhirnya Fann dibenarkan keluar dari hospital selepas lima hari menerima rawatan di hospital.

Sebelum meninggalkan wad, aku bertanya doktor yang merawat apa penyakit sebenar Fann dan sampai bila dia akan begitu? Takkan selamanya dia akan lumpuh 70 minit setiap hari?

 "Kami dah check anak encik. Semuanya okay, tak ada masalah dengan kesihatan anak encik. Sebab tu kami benarkan dia keluar," jawab doktor wanita Melayu yang bertugas di wad pediatrik. 

 "Tapi waktu maghrib hingga isyak dia masih tak boleh jalan kan? Takkan selamanya macam tu, doktor?" Bengang juga aku dengan jawapan itu. Kalau Fann okay seperti kata doktor, mengapa waktu lepas maghrib hingga isyak tidak okay? 

 "Begini encik. Encik baliklah ke rumah dulu. Bagi anak encik rehat dulu 3-4 hari di rumah. Mungkin dia perlu sedikit masa untuk pulih. Kalau keadaan dia masih sama, bawa dia ke sini sekali lagi."

 "Tapi dia boleh pulih ka?"

 "Insya-Allah boleh. Sebab dia tak ada sakit apa-apa pun, ujian klinikal kami menunjukkan semuanya okay."

Ketika aku, Im dan Fann hendak meninggalkan wad untuk balik ke rumah, aku perasan ada seseorang sedang mengekori kami dengan langkah laju. Bila aku toleh ke belakang, nampak seorang doktor lelaki berusia 20an yang agak kacak orangnya, berkulit cerah, berjambang dan berwajah iras-iras pelakon Bollywood sedang mengekori aku dan isteri. Ketika kami menghampiri pintu keluar wad, doktor itu menghampiri aku.

 "Encik, kami di sini dah buat sedaya upaya bagi merawat anak encik. Tapi macam Dr. Zahira cakap tadilah, mungkin perlu masa untuk anak encik pulih. Encik bersabar ya?" kata doktor itu sambil tangannya menepuk bahuku.

Terharu aku mendengar tutur katanya yang lembut itu. Penuh simpati dan empati.

 "Tapi kan encik..." Doktor muda itu memandang wajahku. "Saya nak beri satu cadangan kat encik. Ini cadangan saya je... terserah kat encik nak ikut ke tak cadangan saya."

 "Cadangan apa tu, doktor?"

 "Apa kata lepas ni encik cuba perubatan alternatif pula?"

 "Perubatan alternatif?"

 "Begini encik, ilmu perubatan yang dikuasai manusia terlalu kecil berbanding ilmu Allah. Kami di sini hanya mampu merawat mengikut ilmu yang kami pelajari. Tapi yang menyembuh penyakit kuasa Tuhan. Jadi... encik teruslah berikhtiar, jangan putus asa. Kalau encik rasa perubatan alternatif boleh membantu, cubalah perubatan alternatif pula. Itu pun sebahagian ikhtiar juga, encik."

Aku merenung wajah doktor itu. Terpancar sinar keikhlasan pada penampilannya yang lembut itu.

 "Terima kasih doktor. Saya akan cuba mengikut nasihat doktor tadi," kata aku sambil bersalaman dengan doktor yang bagiku sangat budiman itu.

        ___________________

Sesampai kami di rumah mentua, aku bertanya bapa mentua sama ada dia mengenali sesiapa yang mahir dalam perubatan alternatif.

 "Jeff cuba bawa Fann berubat rumah Pak Puteh. Mana tau Pak Puteh boleh bantu," bapa mentua aku memberi cadangan.

Pak Puteh ialah kawan lama bapa mentua aku. Pak Puteh berusia lewat 60an. Dia seorang pengamal perubatan alternatif dan juga tukang urut. Dia tinggal di sebuah kampung tidak jauh dari Changlun, 50 kilometer dari Alor Setar.

Petang itu, selepas makan tengah hari di rumah mentua, aku, Im dan Fann bertolak ke rumah Pak Puteh.

Kami tiba di rumah Pak Puteh sebelum masuk waktu asar.

 "Assalamualaikum," aku memberi salam.

 "Waalaikumsalam," terdengar suara wanita dari dalam rumah sambil membuka pintu. Dia Mak Wan, isteri Pak Puteh.

Bila aku jenguk ke dalam rumah, kelihatan seorang lelaki berusia 30an sedang duduk bersila di ruang tamu di sebelah Pak Puteh yang juga duduk bersila.

 "Duduk dulu naa," kata Mak Wan. "Pak Puteh sedang berubat orang."

Kami duduk di atas sofa ruang tamu sementara menunggu Pak Puteh mengubati lelaki berusia 30an itu.

Selepas lelaki itu selesai berubat barulah giliran anak aku, Fann untuk berubat dengan Pak Puteh pula.

Aku, Im dan Fann berjalan ke arah Pak Puteh yang sedang duduk bersila di atas karpet di sebelah sofa. Semua kami duduk bersila di depannnya.

Belum lagi sempat aku terangkan tentang penyakit Fann, Pak Puteh telah bertanya terlebih dulu, "Anak sakit kaki ka ni?"

Aku dan Im berpandangan. Kami agak terkejut kerana belum diberitahu apa-apa, Pak Puteh sudah terlebih dahulu dapat meneka apa penyakit Fann. Pada hal Fann ketika itu begitu lincah, tidak nampak tanda sakit kaki atau sakit apa sekali pun.

 "Betoi dia sakit kaki kan?" Pak Puteh minta pengesahan.

 Aku mengangguk.

 "Macam mana kaki dia boleh sakit? Cuba cerita sikit kat Pak Puteh.” Pak Puteh menarik tangan Fann untuk duduk di sebelahnya, menunggu untuk mendengar ceritaku.

 "Entahlah Pak Puteh, tiba-tiba jer kaki dia sakit. Kaki dia macam lumpuh masa masuk waktu maghrib. Tak boleh gerak langsung bila masuk waktu maghrib. Nak pi mana pun kena dukung," jelas aku.

 "Ni nampak dia elok pun," ujar Pak Puteh sambil tangannya mengusap-usap kaki dan kepala Fann yang berambut sedikit keriting itu.

"Dia jadi lumpuh antara waktu maghrib dan isyak jer Pak Puteh. Masa lain lepas isyak macam ni lah, lasak bukan main," jelas aku.

Pak Puteh kemudian kelihatan mengurut kaki Fann sambil mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Lama juga dia mengurut sambil mulut terkumat-kamit, hampir 10 ke 15 minit juga rasanya. Aku dan Im hanya memerhati, tidak mahu konsentrasi Pak Puteh terganggu.

 "Dekat-dekat maghrib baru-baru ni ada bawa budak ni masuk hutan dak?" tanya Pak Puteh selepas selesai mengurut dan berdoa.

Sekali lagi aku tercengang. Macam mana Pak Puteh boleh tahu Fann masuk hutan dekat-dekat waktu maghrib?

 "Lima hari lepas kami ada pi tanah dusun yang kami baru beli kat Sintok tu, Pak Puteh," terang aku. "Kami pi lepas asar bersihkan dusun tu, bila dengar azan maghrib barulah kami balik ke rumah."

 "Haaa... tu lah pasai!" balas Pak Puteh sambil tersenyum. "Budak ni dah terpijak anak jin kat hutan tu! Anak jin tu tak boleh jalan lepas kena pijak. Sebab tu la ibu bapa jin tu marah, depa kenakan balik budak ni sampai tak boleh jalan macam anak depa juga yang laa ni masih tak boleh jalan..."

 "Oh... jadi ni kes balas dendam la ni?" kata aku tergelak kecil. Rupanya jin pun hati hitam macam manusia dalam drama Melayu juga, fikir aku, asyik nak berdendam jer!

 "Lain kali," sambung Pak Puteh. "Kalau dekat-dekat maghrib jangan biar budak-budak masuk hutan, kita tak tau apa ada dalam hutan tu."

 "Habis apasal anak saya cuma tak boleh jalan waktu maghrib saja, Pak Puteh?" aku minta kepastian. "Bila masuk isyak dia boleh jalan elok pula? Masa lain pun kaki dia okay jer. Pasai apa setiap kali maghrib kaki dia jadi macam tu?"

 "Makhluk halus biasanya akan balas dendam pada waktu yang sama depa disakiti. Kalau manusia sakitkan depa lepas zohor, setiap kali lepas zohor orang yang sakitkan makhluk tu akan rasa sakit. Kalau lepas asar dia disakiti, lepas asarlah dia balas dendam. Kalau sakitkan dia masa maghrib macam kes Fann ni, masa maghriblah dia buat kerja jahat dia."

Oh... begitu pula, fikir aku. Pandai pula makhluk halus itu set masa ya? Agaknya jin pun masuk kelas sains dan geografi kot?

Pak Puteh kemudian membaca ayat-ayat suci sambil menghembus ke dalam botol air yang kami bawa bersama ke rumahnya.  

 “Air ni untuk diminum Fann naa. Berapa kali nak minum sehari pun tak pa,’’ ujar Pak Puteh sambil menghulurkan botol air tersebut. “Air ni juga kena jelum ke kepala Fann setiap kali lepas mandi dan sebelum masuk tidur. Kalau nampak air kurang boleh tambah sendiri dengan air sejuk.”

 "Jangan bimbang, semuanya settle dah," ujar Pak Puteh ketika aku berada di muka pintu rumah untuk balik ke Alor Setar.

 "Insya-Allah Fann akan cerdas balik waktu maghrib nanti. Tapi jangan lupa bagi Fann minum dan mandi air yang Pak Puteh bagi. Buat  tiga hari berturut-turut."

Petang itu, setiba di rumah mentua, hatiku mula rasa berdebar. Menjelang masuk waktu maghrib rasa berdebar semakin kuat. Bukan tidak percaya dengan kata-kata Pak Puteh, bukan tidak percaya dengan perubatan Pak Puteh, tetapi entahlah... masih risau jika tiba waktu maghrib Fann akan jatuh terjelepok dan kemudian tidak berupaya bangun seperti hari-hari sebelumnya.

Tetapi lepas azan maghrib berkumandang dari masjid berdekatan dan sehingga masuk waktu isyak, perkara yang kami takuti itu tidak berlaku. Fann kembali aktif dari maghrib hingga isyak seperti minggu-minggu sebelumnya. Fann tidak lumpuh lagi!

Alhamdulillah, sumpahan bapa jin sudah berakhir!

Usai solat maghrib dan isyak, aku melakukan sujud syukur. Sebelum tidur juga aku ulangi sujud syukur. Sebelum dan selepas solat subuh esoknya, aku ulangi lagi sujud syukur. Air mata kesyukuran tidak dapat disembunyikan ketika tunduk sujud mensyukuri anugerahNya. Maha suci Allah, pencipta dan penyembuh segala penyakit.

Walaupun Fann telah pulih sepenuhnya daripada penyakit misteri yang dialaminya, namun hingga beberapa hari selepas itu, setiap kali datang waktu maghrib, rasa berdebar tetap wujud melengkari hatiku. Lama jugalah sindrom 'maghribphobia' melanda jiwaku sepanjang cuti panjang di Kedah itu.

Mujurlah selepas cuti panjang berakhir dan kami sekeluarga pulang semula ke KL, rasa cemas menjelang maghrib atau aku panggil 'maghribphobia' itu akhirnya hilang sama sekali.

Syukurlah Fann kembali sihat dan pulih sepenuhnya. Tidak kisahlah sama ada Fann sembuh atas bantuan perubatan moden atau perubatan alternatif, yang penting Allah mengizinkan Fann sembuh.

Benarlah kata doktor handsome wad pediatrik tempoh hari, ilmu perubatan manusia sangat terbatas berbanding dengan ilmu Allah. Apa yang penting kalau anak-anak sakit, sebagai ibu bapa kita tidak boleh berputus asa dan perlu sentiasa berikhtiar untuk berubat, insya-Allah, Allah akan tunjukkan jalannya.....

Ulasan